Kompang (کومڤڠ) ialah sejenis alat muzik tradisional gegendang bagi masyarakat Melayu. Selain itu, kompang juga kadangkala digunakan oleh suku Bajau di pesisir Sabah, Malaysia, meskipun tidak termasuk dalam tradisi asli mereka. Ia tergolong dalam kumpulan alat muzik gendang. Kulit kompang biasanya diperbuat daripada kulit kambing betina, namun mutakhir ini, kulitnya juga diperbuat dari kulit lembu, kerbau malah getah sintetik.
Pada kebiasaannya, seurat rotan akan diselit dari bahagian belakang antara kulit dan bingkai kayu bertujuan menegangkan permukaan kompang, bertujuan menguatkan bunyi kompang. Kini, gelung plastik turut digunakan.
Terdapat dua bahagian kompang iaitu bahagian muka (ada kulit) dipanggil belulang. manakala, bahagian badan (kayu) dipanggil baluh. Kompang perlu diletakkan penegang atau dipanggil sedak iaitu sejenis rotan yang diletakkan antara belulang dan baluh, sedak ini diletakkan bertujuan untuk menegangkan bahagian belulang dan menyedapkan bunyi kompang apabila dipalu.
Kompang biasanya berukuran enam belas inci ukur lilit dan ditutup dengan kepingan kulit pada sebelah permukaan. Ia mempunyai bukaan cetek dan dimainkan dengan memegang dengan sebelah tangan sementara dipalu dengan sebelah tangan yang lain.
Kompang Bengkalis Riau merupakan salah satu tradisi muzik yang menggunakan kompang sebagai medium penjanaan bunyi muzik. Kompang Bengkalis Riau dipercayai berasal dari Kampung Jawa, Muar, Johor, Malaysia. Ia telah berkembang sejak tahun 40-an lalu di bumi Bengkalis, Riau, Indonesia apabila seorang tokoh muzik yang bernama Pak Maun yang pulang dari Muar, Johor ke Bengkalis. Pak Maun lalu dikatakan mengajar alunan muzik kompang kepada abangnya iaitu Muhammad Ali. Apabila ilmu ini diperturunkan ke Muhammad Ali, Pak Maun telah berpindah ke daerah Bantan Tua, iaitu sebuah kampung dipanggil Resam. Bermula dari situlah permainan alat muzik Kompang Bengkalis Riau mula berkembang secara aktif.
Menurut suatu rancangan dokumentari berjudul "Musik Tradisi Riau" yang dijayakan oleh Dinas Kebudayaan Kesenian dan Pariwisata Provinsi Riau, temu bual telah diadakan bersama Encik Zailani Sulung, yakni salah seorang tokoh muzik kompang Riau merupakan anak murid kepada Pak Amir yang merupakan anak murid Pak Maun telah mempelajari kompang sejak tahun 1963.
Tidak ada komentar:
Posting Komentar